Pengetahuan
Pedagogi Isi Kandungan (PPIK) atau Pedagogical Content Knowledge (PCK)
merupakan sejenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru. PPIK merujuk
kepada cara guru menyampaikan isi kandungan agar mudah difahami dan dapat
menggalakkan kefahaman konseptual pelajar. PPIK melibatkan penggunaan analogi,
contoh, penerangan dan demonstrasi yang efektif, disamping mengambil kira latar
belakang pelajar (Tengku Zawawi Tengku Zainal, Ramlee Mustapha dan Abdul Razak
Habib, 2009). Ini bertepatan dengan isi yang diberikan oleh Shulman (1987),
iaitu PPIK merupakan satu jenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru dan
hal ini berdasarkan kepada cara guru mengaitkan pengetahuan pedagogi (pengetahuan
tentang cara mengajar) yang dimiliki kepada pengetahuan isi kandungan (apa yang
perlu diajar). Integrasi kedua-dua jenis pengetahuan tersebut menghasilkan
pengetahuan pedagogi isi kandungan.
Beberapa kajian lepas yang telah dijalankan menunjukkan bahawa
tahap pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) dalam kalangan guru dan bakal
guru masih berada pada tahap yang rendah. Hasil dapatan kajian oleh Norasliza
Hassan (2008) menunjukkan bahawa 29% guru pelatih mempunyai tahap PPIK yang
rendah, 62% berada pada tahap sederhana dan 9% berada pada tahap yang baik. Ini
menunjukkan bahawa tahap pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) bakal guru
Matematik masih berada pada tahap yang sederhana. Seterusnya, kajian yang
dijalankan oleh Tengku Zawawi Tengku Zainal, Ramlee Mustapha dan Abdul Razak
Habib (2009) mendapati bahawa pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) dalam
kalangan guru baru dan guru berpengalaman masih berada pada tahap yang rendah.
Dapatan kajian ini turut mendapati bahawa PPIK yang dimiliki oleh guru
Matematik berpengalaman tidak sepadan dengan pengalaman mengajar yang mereka
lalui.
Seterusnya,
isu guru mengajar bukan opsyen juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang
pada tahap PPIK yang rendah dalam kalangan guru. Guru luar bidang
bermaksud guru yang tidak mempunyai kelayakan sijil atau major dalam mata
pelajaran yang diajar. Masalah ini sering berlaku ketika urusan penempatan
(posting) di mana guru dikehendaki mengisi kekosongan guru mata pelajaran yang
terlibat. Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di
sekolah menjadi “bidan terjun”. Sebagai contoh, kebanyakan graduan-graduan
Ijazah Sarjana Muda (ISMP) sekarang tidak mendapat opsyen masing-masing. Malah
mereka mendapat opsyen yang bertentangan dengan opsyen mereka. Guru bukan
opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa
Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan
pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibawaan guru dalam menyampaikan
ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.
No comments:
Post a Comment