Wednesday, May 20, 2015

Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan

            Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan (PPIK) atau Pedagogical Content Knowledge (PCK) merupakan sejenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru. PPIK merujuk kepada cara guru menyampaikan isi kandungan agar mudah difahami dan dapat menggalakkan kefahaman konseptual pelajar. PPIK melibatkan penggunaan analogi, contoh, penerangan dan demonstrasi yang efektif, disamping mengambil kira latar belakang pelajar (Tengku Zawawi Tengku Zainal, Ramlee Mustapha dan Abdul Razak Habib, 2009). Ini bertepatan dengan isi yang diberikan oleh Shulman (1987), iaitu PPIK merupakan satu jenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru dan hal ini berdasarkan kepada cara guru mengaitkan pengetahuan pedagogi (pengetahuan tentang cara mengajar) yang dimiliki kepada pengetahuan isi kandungan (apa yang perlu diajar). Integrasi kedua-dua jenis pengetahuan tersebut menghasilkan pengetahuan pedagogi isi kandungan.

Beberapa kajian lepas yang telah dijalankan menunjukkan bahawa tahap pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) dalam kalangan guru dan bakal guru masih berada pada tahap yang rendah. Hasil dapatan kajian oleh Norasliza Hassan (2008) menunjukkan bahawa 29% guru pelatih mempunyai tahap PPIK yang rendah, 62% berada pada tahap sederhana dan 9% berada pada tahap yang baik. Ini menunjukkan bahawa tahap pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) bakal guru Matematik masih berada pada tahap yang sederhana. Seterusnya, kajian yang dijalankan oleh Tengku Zawawi Tengku Zainal, Ramlee Mustapha dan Abdul Razak Habib (2009) mendapati bahawa pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) dalam kalangan guru baru dan guru berpengalaman masih berada pada tahap yang rendah. Dapatan kajian ini turut mendapati bahawa PPIK yang dimiliki oleh guru Matematik berpengalaman tidak sepadan dengan pengalaman mengajar yang mereka lalui.

Seterusnya, isu guru mengajar bukan opsyen juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang pada tahap PPIK yang rendah dalam kalangan guru. Guru luar bidang bermaksud guru yang tidak mempunyai kelayakan sijil atau major dalam mata pelajaran yang diajar. Masalah ini sering berlaku ketika urusan penempatan (posting) di mana guru dikehendaki mengisi kekosongan guru mata pelajaran yang terlibat. Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Sebagai contoh, kebanyakan graduan-graduan Ijazah Sarjana Muda (ISMP) sekarang tidak mendapat opsyen masing-masing. Malah mereka mendapat opsyen yang bertentangan dengan opsyen mereka. Guru bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibawaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.


Monday, May 18, 2015

Seuntai Kata Untuk Dirasa....



hOW SmART aRe You??





PT3 MENGGANTIKAN PMR....APA KATA ANDA??



KUALA LUMPUR:Pentaksiran Tingkatan 3 Tahun 2014



Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan masyarakat umum yang telah memberikan pelbagai respon mengenai keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan pada 22 Disember 2014.

Sehubungan itu, KPM ingin menjelaskan sekali lagi bahawa keputusan melaksanakan PT3 untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dibuat setelah mendapat pandangan rakyat daripada pelbagai peringkat yang pada ketika itu rata-rata mahukan sistem pendidikan negara tidak terlalu bertumpu dan mementingkan peperiksaan semata-mata yang mengekang percambahan berfikir.

Sebaliknya negara kita mesti melahirkan pelajar berkualiti yang mempunyai kemahiran berfikir yang lebih kritis, kreatif dan mendorong pelajar untuk berfikir di luar kotak.

Justeru itu, setelah meneliti dan membuat kajian terperinci, PT3 yang mengantikan PMR telah diperkenalkan pada tahun ini, ditambah baik dengan memberikan lebih penekanan kepada soalan-soalan yang memerlukan pemikiran aras tinggi.

Oleh itu, KPM ingin menekankan bahawa keputusan PT3 pada tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan keputusan PMR yang dijalankan sebelum ini kerana format dan instrumen yang digunakan adalah berbeza.

Struktur soalan PT3 berbentuk subjektif (respon terbuka), berbeza dengan soalan PMR yang berbentuk objektif (aneka pilihan).

Kemahiran berfikir

Struktur soalan baharu ini memerlukan pelajar untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran apabila menjawab soalan peperiksaan berbanding soalan objektif yang hanya memerlukan pelajar menghafal sukatan pelajaran untuk memperoleh keputusan cemerlang.

Nisbah aras kesukaran soalan juga adalah berbeza, iaitu PT3: 3:4:3 (rendah : sederhana : sukar), manakala PMR: 5:3:2 (rendah : sederhana : sukar). Kaedah pengredan juga berbeza iaitu pengredan PT3 ditetapkan berdasarka npenetapan standard (kriteria tertentu mengikut mata pelajaran) dan pengredan PMR adalah berdasarkan penentuan standard (gred ditetapkan mengikut prestasi keseluruhan calon).

Murid-murid Tingkatan 3 yang menduduki PT3 mulai tahun ini telah ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan PentaksiranTingkatan 3 (PT3).

PT3 merupakan pentaksiran sumatif yang setara di Tingkatan 3 bagi menilai pencapaian akademik calon dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah.

Panduan penskoran

Melalui PT3, calon ditaksir untuk melihat penguasaan dan keupayaan intelek mereka di akhir sesuatu program pembelajaran. Pelaksanaan PT3 mengambil kira instrumen dan panduan penskoran setara yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) manakala pentadbiran dan penskoran oleh guru di sekolah masing-masing dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh LP.

PT3 bukan menjadikan murid sebagai bahan uji kaji dan juga bukan disediakan dalam masa yang singkat. Soalan PT3 adalah berdasarkan kurikulum sedia ada yang telah diguna pakai untuk PMR. Format soalan PT3 juga adalah selari dengan format instrumen Pentaksiran Sekolah (PS).

PS yang dilaksanakan mulai Tingkatan Satu menggalakkan guru mentaksir murid dengan menggunakan pelbagai instrumen seperti lisan, ujian bertulis, kajian lapangan, kuiz, kajian di makmal sains dan senarai semak. Ini bermakna murid telah didedahkan dengan pelbagai format instrumen ujian sejak tahun 2012.

Keputusan PT3 juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh dan ke aliran sains atau sastera. Pemilihan ke aliran tersebut dibuat bukan sahaja berdasarkan keputusan PT3, tetapi juga mengambil kira pelaporan keempat-empat komponen PBS.

Galak calon berfikir

Pihak KPM ingin menegaskan bahawa soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinyatakan sebagai penyebab kemerosotan pencapaian murid adalah tidak benar, kerana soalan KBAT menggalakkan calon berfikir secara kreatif dan kritis.

Selain itu, LP amat mementingkan kesahan dan kebolehpercayaan skor. Untuk memastikan ketekalan pemeriksaan oleh guru, LP telah menyediakan panduan penskoran yang setara, melatih guru-guru untuk memeriksa skrip jawapan calon, serta melantik pentaksir luar yang berkecuali untuk menjalankan moderasi pemeriksaan dan verifikasi skor calon.

KPM juga ingin menjelaskan makluman mengenai empat komponen PBS telah disampaikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) dan pihak sekolah sejak tahun 2012 lagi. Manakala makluman mengenai PBS dan PT3 sekali lagi telah disampaikan kepada PIBG dan pihak sekolah melalui program turun padang Outreach PBS Public Engagement PIBG.

KPM juga telah membuat siri Program Outreach PBS dan Public Engagement PIBG untuk menerangkan tentang empat komponen PBS kepada ibu bapa dan pentadbir sekolah sejak bulan Februari tahun lepas lagi manakala Public Engagement PIBG yang menerangkan mengenai PentaksiranTingkatan 3 (Format instrumen, pentadbiran, penjaminan kualiti) dan empat bentuk pelaporan PBS yang akan diterima oleh calon telah dijalankan pada April hingga Jun 2014.

Hebahan dan kefahaman

Di samping itu, KPM juga telah melaksanakan hebahan dan memberi kefahaman tentang PT3 kepada pelbagai pihak melalui pelan komunikasi iaitu penerangantentang PBS kepada masyarakat umum melalui media elektronik seperti radio, televisyen dan portal LP.

Program bual bicara di radio dan televisyen utama telah membincangkan PBS dan PT3 dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi memberi kefahaman kepada pelbagai pihak berkepentingan. Begitu juga dengan iklan PT3 dalam empat bahasa telah disiarkan dalam radio juga media massa lain.
Penerangan bagi memberi kefahaman tentang PT3 kepada masyarakat umum juga dibuat melalui media cetak. Artikel dan maklumat tentang PT3 telah disiarkan dalam akhbar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

KPM sentiasa menerima pandangan dan maklum balas daripada semua pihak untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara amnya dan pentaksiran secara khususnya.

Sehubungan itu, KPM akan terus meneliti dan mengambil langkah-langkah wajar untuk memperbaiki sebarang kelemahan dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak demi memastikan pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang terbaik




Sumber : Astro Awani




i-THINK




Pelaksanaan Program i-THINK
i-THINK bermaksud 'innovative thinking' (Pemikiran Inovatif) yang bertujuan untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar ke arah menghasilkan pelajar yang kreatif, kritis dan inovatif.  i-THINK adalah satu program yang dipacu oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta telah dirintis di 10 buah sekolah (6 SR dan 4 SM) sebelum diperkembangkan ke seluruh Malaysia. Perbelanjaan rintis program i-THINK dibiayai sepenuhnya oleh AIM. i-THINK dilaksanakan ekoran daripada tahap pencapaian pelajar yang rendah dalam pentaksiran antarabangsa, TIMSS dan PISA.

Alat Berfikir Yang Diperkenalkan Dalam Program i-THINK
Peta Pemikiran
Peta Pemikiran adalah alat berfikir yang dipersembahkan dalam 8 bentuk peta pemikiran secara visual yang mudah digunapakai dan difahami merentasi kurikulum. Ia boleh digunapakai oleh murid seawal usia 4 tahun. Ada 8 jenis peta pemikiran yang boleh digunakan.




SAMBUTAN HARI GURU 2015

Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan meriah seluruh negara

JITRA - Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-44 yang diadakan di Dewan Wawasan Jitra di sini hari ini berlangsung penuh meriah dengan kehadiran lebih 3,000 warga pendidik dari seluruh negara.


Bertemakan 'Guru Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak', sambutan yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan nyanyian, sajak dan tarian daripada pelajar dan guru sekolah.
Bersempena dengan sambutan hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Datuk Dr. Haili Dolhan diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan manakala bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghaffar Mahmud dianugerahkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan.
Kedua-dua anugerah tinggi sektor pendidikan negara itu telah disampaikan Timbalan Perdana Menteri pada majlis sambutan yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Turut hadir pada sambutan hari ini ialah Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kalamanathan serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof. – Bernama

Sumber : Kosmo



11 ANJAKAN PPPM